Keindahan dari ILAHI.....

"Seseorang manusia harus cukup rendah hati untuk mengakui kesilapannya ,cukup bijak untuk mengambil manfaat daripada kegagalannya dan cukup berani untuk membetulkan kesilapannya"
- Aku Meminta Kepada ALLAH Setangkai Bunga Segar, IA Beri Aku Kaktus Berduri, Aku Meminta Kupu-Kupu, Diberi Ulat Berbulu. Aku Sedih & Kecewa... Tetapi Ternyata Kaktus Itu Berbunga, Indah Sekali... & Ulat Itu Menjadi Kupu-Kupu Yang Cantik... Itulah Jalan TUHAN, Indah Pada Masanya! ALLAH Tidak Memberi Apa Yang Kita Harapkan, Tetapi DIA Memberi Apa Yang Kita Perlukan. Kadangkala Kita KECEWA, SEDIH, TERLUKA,MERANA... Tetapi Tanpa Kita Sedari... Jauh Di Atas Segalanya DIA Telah Mengatur Yang Terbaik Dalam Kehidupan Kita... Segala Apa Yang Kita Miliki Tetap Anugerah DariNYA...-
Percayalah... Setiap Ujian Yang Kita Hadapi Pasti Ada Hikmah Di Sebaliknya... Sesungguhnya ALLAH Sayangkan Setiap Hambanya...Pahit Akan Manis Akhirnya... Insya'ALLAH...

Ciri-ciri Insan Yang Berjaya

Untuk menjadi orang yang berjaya dalam hidup ini adalah bukan sesuatu yang mustahil bagi sesiapa sahaja. Ini kerana setiap orang itu mempunyai peluang untuk mengecapi kejayaan dalam hidup mereka. Ianya bergantung kepada individu itu sendiri yang menentukan bagaimana cara hidup mereka sama ada untuk menjadi orang yang berjaya atau pun tidak.
Sejak dari kecil lagi seseorang itu telah diajar bagaimana untuk berjaya di sekolah dengan mendapat keputusan yang cemerlang dalam pelajaran, berjaya masuk ke universiti, berjaya mendapat kerja yang dinginkan dan banyak lagi.
Tidak terkecuali sudah tentu saya juga sentiasa ingin menjadi orang yang berjaya didunia dan tidak lupa juga akhirat. Begitu juga dengan anda kan? Memang menjadi impian setiap orang untuk menjadi orang yang berjaya ni. Setiap individu yang berjaya mereka mempunyai ciri-ciri yang sentiasa mereka amalkan dalam hidup mereka. Ianya boleh kita dijadikan panduan atau sebagai ikutan untuk berjaya seperti mereka.
1) Berilmu dan cintakan ilmu pengetahuan
Orang yang berilmu akan sentiasa dipandang mulia oleh orang lain kerana ketinggian ilmu yang dimilikinya. Dengan ilmu seseorang itu akan berjaya didunia dan juga akhirat. Ciri-ciri individu yang berjaya mereka sangat cintakan ilmu pengetahuan kerana mereka tahu dengan memiliki ilmu hidup mereka akan lebih berjaya. Cara  untuk mendapatkan ilmu adalah dengan banyak membaca kerana dengan membaca ilmu pengetahuan seseorang akan semakin bertambah.
2) Yakin dengan diri sendiri
Setiap orang mempunyai kelebihan masing-masing dalam diri mereka. Oleh itu anda hendaklah sentiasa yakin yang anda juga hebat seperti orang lain. Jika orang lain boleh berjaya mengapa anda tidak kan? Semuanya berkenaan keyakinan yang ada dalam diri anda sendiri. Jika anda sudah tidak yakin dengan diri anda sendiri anda mungkin tidak akan dapat mengecapi kejayaan seperti apa yang anda impikan.
3) Sentiasa berusaha dan tidak berputus asa
Kejayaan seseorang itu bergantung kepada sejauh mana usaha yang mereka lakukan. Jika anda telah pun berusaha tapi kejayaan yang anda inginkan tidak seperti yang anda harapkan maka anda jangan lekas berputus asa. Orang yang mudah berputus asa tidak akan kemana-mana. Anda kena percaya walaupun anda telah banyak berusaha tapi semuanya Allah yang tentukan.
4) Tawakal kepada Allah
Setelah anda berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai impian yang anda impikan maka selepas itu anda bolehlah bertawakal kepada Allah. Ini kerana kita sebagai manusia hanya mampu merancang tapi Allah yang menentukan segalanya. Anda telah pun berusaha setakat mana kemampuan anda. Dengan bertawakal bermakna anda yakin hanya Allah yang akan memberikan kejayaan kepada hamba yang diinginkanNya.
5) Syukur atas segala nikmat
Setelah kejayaan yang anda inginkan telah menjadi kenyataan maka sebagai seorang hamba hendaklah anda bersyukur kepadaNya. Ini kerana ianya sebagai tanda terima kasih atas segala nikmat yang diberikan olehNya. Dengan membantu orang lain juga menunjukkan tanda syukur atas kejayaan yang anda miliki.
6) Beriman dan bertakwa
Orang yang berjaya akan selalu berada dekat dengan penciptanya. Ini kerana kita tahu hanya Dia yang akan memberikan kejayaan bagi seorang hamba semasa hidup didunia dan juga akhirat. Keimanan dan ketakwaan adalah dengan menjaga segala amal ibadah seperti solat kerana solat adalah hubungan seorang hamba dengan penciptanya. Anda juga perlulah sentiasa berdoa supaya diberikan kejayaan dan kesejahteraan dalam hidup ini.
Kesimpulan, semua orang inginkan kejayaan dalam apa saja perkara yang dilakukan kerana ianya menjadi impian setiap orang. Tiada siapa yang ingin berada dalam kehidupan yang susah, kecewa, derita dan sebagainya. Sudah tentu anda selalu ingin hidup bahagia dan berjaya seperti orang lain juga. Tapi ingatlah dalam kita  mengejar kejayaan hidup didunia ini kita janganlah sampai lupakan kejayaan kita untuk hari akhirat juga. Sama-sama kita berusaha untuk mengecapi apa saja kejayaan yang kita inginkan dan selamat beramal.

Pengertian, Kepentingan & Keajaiban Keyakinan Diri

Pengertian Keyakinan & Keyakinan DiriKeyakinan ialah kepercayaan yang tidak berbelah bagi. Keyakinan diri pula ialah kepercayaan bahawa dirinya boleh mengendalikan kehidupannya dengan baik serta segala cabaran yang dihadapi dengan jayanya.
Kepentingan Membina Keyakinan Diri 
Kebolehan anda mengatasi segala halangan dalam hidup untuk mencapai kejayaan, banyak dipengaruhi oleh keyakinan diri anda. Ini bermakna lebih yakin anda terhadap diri anda serta masa hadapan anda, lebih terbukalah kejayaan untuk anda. 
Jenis-Jenis Keyakinan  
Pada hemat saya, terdapat 4 jenis keyakinan utama yang perlu kita miliki:
  • Keyakinan diri terhadap Tuhan dan keesaanNya
  • Keyakinan terhadap diri sendiri
  • Keyakinan diri sendiri terhadap orang lain
  • Keyakinan orang lain terhadap diri sendiri
Punca-Punca Utama Ketidakyakinan Diri
  • Tidak mempunyai matlamat yang jelas dalam hidup atau hala tuju yang tidak menentu / tidak jelas
  • Tidak mempunyai prinsip hidup yang mantap
  • Kurang pengetahuan, pengalaman dan pendedahan
  • Kurang kemahiran dan persediaan
  • Suka bergaul dengan orang-orang yang berfikiran negatif atau dilahirkan di kalangan orang-orang yang pesimis
  • Kemiskinan akibat kurangnya idea serta Sains Kejayaan Hidup
  • Berpenyakit kronik atau badan kerap kurang sihat / cergas
Petanda-Petanda Orang yang Kurang Keyakinan Diri

  • Kurang senyum

  • Risau dan kelihatan risau

  • Gugup dan kelihatan gugup

  • Kurang berinteraksi

  • Malas bekerja atau berusaha

  • Cincai dan kelihatan selekeh

  • Suka meminta-minta

  • Mudah putus asa

  • Suka gossip dan mengumpat

  • Defensif dan cepat marah

  • Mudah atau suka berbohong

  • Keajaiban Keyakinan Diri
    Kejayaan datang kepada mereka yang dapat mengendalikan kehidupan dengan yakin dan cemerlang. 
    Kisah Keyakinan Diri Joan of Arc amat menarik perhatian saya. Joan of Arc pada umur 17 tahun, seorang pengembala kambing biri-biri yang miskin di Perancis, amat percaya yang ia telah mendapat ilham dari Tuhan bahawa beliau harus mengetuai bala tentera Perancis untuk menentang tentera-tentera Inggeris yang amat sukar dikalahkan. Tentera-tentera Perancis telah kehabisan idea tentang bagaimanakah lagi cara menepis serangan-serangan serta mengalahkan tentera-tentera Inggeris. Kerana terlalu kekalutan, mereka telah merayu kepada sesiapa sahaja di kalangan rakyat Perancis untuk tampil ke hadapan memberi idea tentang bagaimanakah lagi cara menentang tentera-tentera Inggeris.
    Joan of Arc seorang gadis yang masih amat muda itu telah tampil ke hadapan dengan keyakinan yang begitu tinggi, berapi-api - amat yakin sekali - seyakin-yakinnya! bahawa ia telah mendapat ilham dari Tuhan yang dia sahajalah yang akan dapat memimpin bala tentera Perancis bagi mengalahkan tentera-tentera Inggeris. Keyakinannya yang sungguh kental dan mengkagumkan itu telah memberi harapan baru kepada pucuk pimpinan tentera Perancis. Beliau telah diberi tugas berat; mengepalai tentera Perancis yang sedang menghadapi kebuntuan dan kemelut itu! 

    Keyakinan si gadis lidi yang tidak dapat dipertikaikan lagi itu telah menyemarakkan semangat seluruh tentera dan rakyat Perancis. Dengan keyakinan dan pimpinan Joan of Arc, mereka telah mendapat semangat dan tenaga baru untuk menyerang balas dan menggempur tentera-tentera Inggeris dengan strategi peperangan yang berbisa serta keyakinan dan semangat juang yang tidak terperi tingginya! Ini telah amat MENGEJUTKAN tentera-tentera Inggeris sehingga hilang arah, kekuatan dan semangat walaupun jumlah mereka lebih ramai daripada tentera-tentera Perancis - kelamkabut serta bertempiaran tentera-tentera Inggeris! Lantas, Perancis meraih kemenangan besar! 

    Inilah bukti KEAJAIBAN keyakinan diri! 

    Mencari Calon Isteri dan Suami: Panduan Memilih Jodoh


    Mencari pasangan hidup bukan mudah. Pasangan hidup maknanya pasangan untuk hidup bersama. Bukan sekejap. Jika umur panjang mungkin bersama sehingga 50 tahun. Bangun bersama, makan bersama, berbual bersama, tidur bersama. Berkongsi anak, berkongsi rumah, berkongsi rasa, berkongsi kasih.
    Maka, mencari pasangan hidup ini memang perkara serius. Serius. Memang serius. Jangan akibat si dia mengurat anda, maka anda terus terpesona dan bersetuju. Jangan semata si dia comel atau glamour, maka anda terus mengambilnya.
    Fikir betul-betul. Solat istikharah dan banyakkan berdoa. Selagi belum tenang jiwa, tunggu dulu. Usah tergopoh gapah. Mencari jodoh, perlukan panduan. Perlu ada sandaran ilmu dan petunjuk. Dalam banyak-banyak penulisan saya suka memetik sebahagian dari artikel Ust Hasrizal (Abu Saif) dalam lamannya SaifulIslam.com.Antara yang menarik tulisan berikut:
    Hadith Nabi SAW yang diulang-ulang sebagai slogan memanifestasikan keinginan berumahtangga.
    Bukan tidak banyak penjelasan tentang hadith ini di pelbagai sumber maklumat yang ada. Tetapi sering anak muda kecundang dalam mengimbangkan kefahamannya dalam konteks TEPAT dan JELAS. Selagi mana tidak tepat, selagi itulah jalannya tersasar ke sana sini. Kehidupan yang tidak ditentukan arahnya, adalah kehidupan yang tidak tentu arah.
    Apa tujuan berumahtangga?
    “Begin with the end in mind“, adalah slogan kita untuk menepatkan matlamat kehidupan dan segenap peringkat perjalanannya.
    Soal menentukan matlamat yang tepat, tidaklah begitu susah.
    Berkahwin kerana harta? Harta bukan sumber bahagia. Donald Trumph yang kaya raya itu pun pernah mengeluh dalam temubualnya bersama John C. Maxwell, “aku melihat ramai orang yang lebih gembira hidupnya dari hidupku. Padaku mereka itulah orang yang berjaya. Tetapi semua orang mahu menjadi aku”
    Harta bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.
    Berkahwin kerana keturunan? Keturunan bukan jaminan sumber bahagia. Syarifah hanya boleh berkahwin dengan Syed? Puteri hanya layak untuk Megat? Atau pantang keturunan berkahwin dengan ahli muzik bak kata Mak Dara? Soal keturunan bukan penentu mutlak kerana setiap manusia lahir dengan fitrah yang satu dan murni, lantas setiap mukallaf dan mukallafah mampu kembali kepada kemurnian itu, biar pun lahir ke dunia tanpa bapa yang sah sekali pun.
    Keturunan bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.
    Berkahwin kerana [1] kecantikan? Ahh, yang ini rumit barangkali. Cinta itu dari mata turun ke hati. Maka mata pemutus pertama. Jika berkenan di mata, mudahlah mata memujuk hati.
    Tetapi selama mana kecantikan menyenangkan kehidupan? Kecantikan, biar secantik mana pun, akan pudar dengan perjalanan masa. Kecantikan, biar secantik mana sekali pun, boleh dicabar oleh naluri manusia yang mudah kalah dengan alasan JEMU.
    Mahu berkahwin sementara cantik, dan buang selepas cantik dan kacak bergaya itu dimamah usia?
    Cantik bukan sumber bahagia, ia bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.
    “Maka pilihlah yang memiliki agama… nescaya sejahtera hidupmu”, pesan Nabi SAW.
    Benar sekali, pilihlah yang beragama.
    “Maka saya kena kahwin dengan ustazah, saya kena kahwin dengan ustaz!”, kata seorang pelajar ‘bidang bukan agama’.
    PENYAKIT “TIDAK JELAS”
    Setelah begitu tepat sekali kita menolak harta, keturunan dan rupa paras sebagai sebab untuk memilih pasangan, tibalah kita kepada masalah paling besar [2] menguruskan fikiran tentang perkahwinan, iaitu penyakit “tidak jelas”, apabila tiba kepada soal beragama.
    Apakah yang memiliki agama itu mesti seorang yang ustazah atau ustaz?
    Maka berkahwin dengan golongan ini, jaminan bahagia. Benarkah begitu?
    Di sinilah penting untuk kita bezakan golongan yang TAHU agama, MAHU beragama dan MAMPU dalam beragama.
    Soal mendapatkan ilmu sebagai jalan beragama, adalah prinsip besar di dalam Islam. Lihat sahaja langkah pertama proses wahyu, ia bermula dengan perintah BACA sebagai wasilah menggarap pengetahuan.
    Tetapi apakah TAHU itu merupakah maksud kita beragama dengan agama Islam ini?
    Sejauh mana gred ‘A’ yang digarap dalam subjek “PengeTAHUan Agama Islam” menjadi bekal dan perisai generasi Muslim dalam beragama?
    “Yang memiliki agama” itu lebih luas dari sekadar sempadan tahu agama. Ia adalah soal
    MAHU yang menjadikan pengetahuan agama itu dihayati, dan MAMPU dalam erti dia sentiasa bermujahadah untuk memperbaiki diri.
    Maka janganlah disempitkan maksud mencari yang beragama itu hanya pada mereka yang berlabelkan “jenama TAHU agama” tetapi apa yang lebih penting adalah mereka yang MAHU dan terbukti pada perbuatan hariannya dia sentiasa berusaha menuju MAMPU.
    Dia mungkin seorang ustazah.
    Dia juga mungkin seorang jurutera dan doktor.
    Dia mungkin bertudung labuh.
    Dia juga mungkin belum bertudung tetapi sentiasa mencari jalan untuk menuju kesempurnaan kebaikan. Dia seorang yang membuka dirinya untuk dibimbing dan diajar. Seorang yang ‘teachable“.
    HANYA ‘BERAGAMA’?
    Ada pula yang menyangka bahawa kebahagiaan rumahtangga itu terletak pada beragamanya pasangan kita. Soal harta, keturunan dan rupa paras tidak punya sebarang makna.
    Maka jadilah seorang perempuan itu fasih lidahnya tentang agama dan rapi pakaiannya sebagai isyarat dia beragama, tetapi dia tidak mengetahui nilai harta. Dia boros dan tidak bijak menguruskan harta rumahtangganya.
    Dia nampak elok beragama, malah mungkin seorang pejuang agama, tetapi dia tidak peduli nilai keturunan dan kekeluargaan. Dia tidak menghargai keluarganya sendiri, tidak menghargai keluarga suami atau juga keluarga isteri. Padanya, soal keluarga dan keturunan bukan urusan agama.
    Dia bijak dalam memperkatakan tentang agama, tetapi dia menjadikan alasan agama untuk tidak peduli kepada penampilan diri. Pakaiannya selekeh atas nama agama, kulitnya tidak dijaga bersih, beralasankan agama. Jika perempuan, dia tidak peduli untuk mewangikan diri atau bersolek mengemas diri, kerana padanya itu semua bukan kehendak agama, dan si suami menikahinya bukan kerana itu. Saban hari mukanya bertepek dengan bedak sejuk dan tubuhnya bersarung baju kelawar. Hambar..
    Jika lelaki, dia biarkan diri selekeh dan sentiasa berkemban di dalam kain pelekat dan baju pagoda, membiarkan bau peluh jantannya tidak berbasuh, kerana semua itu tiada kena mengena dengan agama.
    Jadilah agama, sebagai alasan untuk sebuah rumahtangga itu menjadi rumahtangga terhodoh, terburuk dan terselekeh… atas nama berkahwin kerana beragama.

    Memberi hadiah =)


    Kemurahan hati Rasulullah sallallahi ‘alaihi wa sallam memberikan hadiah untuk isterinya terbukti seperti yang digambarkan dalam hadis daripada Ummu Kalsum yang bercerita;
    لَمَّا تَزَوَّجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُمَّ سَلَمَةَ قَالَ لَهَا إِنِّي قَدْ أَهْدَيْتُ إِلَى النَّجَاشِيِّ حُلَّةً وَأَوَاقِيَّ مِنْ مِسْكٍ وَلَا أَرَى النَّجَاشِيَّ إِلَّا قَدْ مَاتَ وَلَا أَرَى إِلَّا هَدِيَّتِي مَرْدُودَةً عَلَيَّ فَإِنْ رُدَّتْ عَلَيَّ فَهِيَ لَكِ قَالَ وَكَانَ كَمَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرُدَّتْ عَلَيْهِ هَدِيَّتُهُ فَأَعْطَى كُلَّ امْرَأَةٍ مِنْ نِسَائِهِ أُوقِيَّةَ مِسْكٍ وَأَعْطَى أُمَّ سَلَمَةَ بَقِيَّةَ الْمِسْكِ وَالْحُلَّةَ
    Maksudnya;
    “Ketika Rasulullah baru berkahwin dengan Ummu Salamah, baginda berkata kepadanya, “sesungguhnya aku telah menghantar hadiah kepada An-Najasyi dengan pakaian berharga dan beberapa botol minyak wangi. Aku dapati bahawa An-najasyi sudah meninggal dunia, menyebabkan hadiah itu dipulangkan balik kepadaku. Sekiranya hadiah itu dipulangkan kepadaku, maka hadiah itu adalah milik kamu”. Berkata (Ummi Kalsum) dalam riwayat lain; seperti bersabda Rasulullah SAW; “jika hadiah itu dihantar balik, hadiah itu akan diberikan kepada semua isteri-isteri baginda, dan baginda memberikan Ummu Salamah minyak wangi yang berbaki dan pakaian bernilai itu” (Musnad Ahmad : 26016)
    Hadis ini amat jelas menunjukkan kepada kita bahawa bagaimana Rasulullah SAW menaikkan semangat kasih sayang baginda terhadap isteri-isteri. Memberi hadiah menjadi rutin bagi Nabi SAW.

    =)

    Maksudnya;
    ”Berilah hadiah sesama kamu, pasti kamu akan berkasih sayang
    ” (Al-Mukjam Al-Awsat : 7448.)

    Didiklah anak memahami potensi diri


    ‘mengajar’ anak-anak agar jangan cepat merungut dan menyalahkan orang lain. ‘Mengajar’ di sini bermaksud ibu bapa perlu menunjukkan contoh sikap proaktif dengan mengelakkan budaya merungut-rungut dan suka menyalahkan orang lain. Bahkan ibu bapa perlu mempamerkan ketabahan dengan sentiasa mencari jalan penyelesaian bagi menghadapai sesuatu kesulitan. Jika ibu bapa kerap mempamerkan kekecewaan, anak-anak mudah menjadi insan lemah daya juang.
    Kadang-kadang tanpa disedari, anak-anak diajar untuk sentiasa menyalahkan orang lain dan sentiasa menafikan kelemahan diri sendiri. Contohnya, apabila anak-anak yang masih kecil dan baru pandai berjalan dan berlari, tiba-tiba terlanggar tiang, lantas menangis. Ibu bapa yang kononnya prihatin itu segera memukul tiang dan berkata: ‘Ambik kau tiang!’ dengan harapan agar anak itu berhenti menangis.
    Anak itu akan berhenti menangis dan tersenyum kerana tiang yang menyebabkan dia sakit itu telah dibalas ‘kejahatannya’. Tindakan ini hanya menjadikan si anak itu berfikir bahawa dia sentiasa betul, dan pihak lain yang menyulitkan kehidupannya sentiasa salah. Dia juga tidak akan terdorong untuk menilai kelemahan dan kecuaian diri sendiri.
    pemikiran proaktif boleh dibentuk melalui latihan kepada anak-anak untuk membuat keputusan. Baginda Rasulullah SAW mengajar umatnya bahawa setiap manusia adalah pemimpin. Ertinya, Islam mahukan kebolehan memimpin ini terserlah dalam setiap individu muslim. Dan latihan awal kepimpinan ialah latihan ‘membuat keputusan’.
    Anak-anak perlu diajar untuk membuat keputusan dan bersedia bertanggungjawab atas keputusannya. Mulakan dengan keputusan-keputusan yang kecil seperti memilih baju untuk menghadiri kenduri, membuat jadual belajar atau memilih beg sekolah sendiri. Ibu bapa hanya berperanan untuk membimbing anak-anak membuat pertimbangan. Ibu bapa boleh meminta anak-anak menimbangkan baik buruk sesuatu pilihan dan juga untuk memahami risiko pilihan yang dibuat. Namun keputusan akhirnya diserahkan kepada anak itu sendiri.
    Selain itu, ibu bapa juga perlu banyak berbincang dengan anak-anak dalam perkara yang melibatkan aktiviti kehidupan mereka. Pendapat mereka perlu didengar dan dipertimbangkan. Secara tidak langsung mereka akan menjadi proaktif and lebih yakin kepada diri sendiri. Walau pun kadang-kadang pandangan anak-anak kelihatan dangkal dan remeh, namun ia perlu ambil kira dan dihargai. Keberanian anak-anak memberikan cadangan dan pandangan perlu sentiasa didorong kerana ia dapat mengembangkan potensi kepimpinan dan kewibawaan.
    Akhirnya, sikap dan pemikiran proaktif juga dapat dirangsang melalui dorongan-dorongan positif yang berbentuk penghargaan. Ibu bapa perlu peka dengan kebolehan, kebaikan dan inisiatif positif yang dilakukan oleh anak-anak. Penghargaan dan pujian menjadikan anak-anak bersemangat untuk meningkatkan usaha melakukan inisiatif yang baik. Insyaallah dengan keprinhatinan ibubapa, anak-anak yang dididik dengan cara yang positif ini akan menjadi insan cemerlang dan mampu mengangkat martabat Islam setingginya.

    Ibu bapa yg suke bergaduh


    Kali ini kami ingin kongsikan sedikit pesanan buat pasangan suami isteri, terutamanya yang baru berumahtangga. Tentunya, tazkirah ini juga buat kami yang tidak terlepas dari ujian. Perbezaan pendapat, juga kelainan sikap boleh membawa perselisihan dan kadang-kadang melarat menjadi satu pergaduhan berpanjangan, dalam rumah tangga. Ini tentunya tidak sesuai dalam rangka kita untuk membina suasana yang damai buat anak-anak.
    Persekitaran yang damai, harmoni dan bahagia memberikan pengaruh besar kepada pendidikan anak-anak. Jika ibu bapa hidup dengan limpah kasih sayang, dan dihiasi kuntuman senyum mesra dan gelak ketawa, nescaya si anak akan terbiasa dengan bayu keharmonian dan kedamaian. Kasih bapa pada ibu dan kasih ibu pada bapa menjadi model penting kepada anak untuk menjadikan nilai kasih sayang sebagai pendorong dalam pembinaan jati diri positif.
    Sebaliknya jika suami isteri bercakaran dan rumah tangga berantakan, si anak akan termanggu-manggu kebingunan, sedih, kecewa, bosan dan memberontak. Rasa sayang pada ibu akan menjadi semakin luntur dan layu. Rasa hormat pada ayah pula menjadi hilang. Rumah bagaikan medan perang yang bukannya mencederakan fizikal tetapi melukakan hati dan perasaan. Akhirnya pendidikan anak ini makin terabai dan terganggu.
    Konflik rumah tangga
    Kata pepatah: sedangkan lidah lagi tergigit, ini kan pula suami isteri. Memang benar bahawa perbezaan pendapat dan kadang-kadang pergaduhan boleh berlaku dalam sesebuah rumah tangga. Allah jadikan setiap manusia berbeza dari sudut kecenderungan, minat, perwatakan, kemampuan, perangai, cara berfikir dan fizikal. Selain faktor-faktor seperti genetik, perbezaan ini banyak dipengaruhi oleh pendedahan kepada persekitaran yang berbeza berdasarkan latar belakang keluarga, sub-budaya dan budaya. Jadi, tidak hairan lah jika suami isteri akan mengalami beberapa cabaran dalam proses penyesuaian.
    Pergaduhan suami isteri bukan sahaja kerana perbezaan latar belakang. Bahkan dalam kes suami dan isteri yang datang dari latar belakang yang sama pun kadang-kadang berlaku juga perselisihan. Seribu satu kelemahan dan kekurangan yang ada pada manusia menyebabkan berlakunya perbezaan dalam keluarga. Kadang-kadang ia berpunca dari suami, dan kadang-kadang ia berpunca dari isteri. Namun dalam banyak keadaan ia adalah akibat kelemahan dan kesilapan kedua-dua suami dan isteri.
    Namun, mencari siapa yang bersalah bukan soal yang pokok. Apa yang penting ialah bagaimana kita berdepan dan mengurus ‘lidah yang tergigit’ ini. Jika lidah yang digigit, penyelesaiannya bukan dengan mencabut gigi, atau memotong lidah. Demikian juga dalam situasi hubungan suami isteri. Kedua-dua pihak perlu berlapang dada, bertimbang rasa, sabar, dan tenang dalam menghadapi konflik rumah tangga.
    Tambahkan ilmu, dapatkan bimbingan, dan rujuk lah masalah yang timbul kepada mereka yang berpengalaman dan punya hikmah. Munajatlah kepada Allah agar, Dia membuka jalan ketenangan dan keharmonian dalam berumah tangga. Fikirkan soal jangka panjang sebelum sesuatu keputusan drastik di ambil, agar anak-anak tidak menjadi mangsa pertembungan suami isteri.
    Anak menjadi mangsa
    Anak ibarat seekor pelanduk yang terhimpit akibat dua ekor gajah bertempur. Yang ‘berperang’ ialah ibu dan bapa, namun korban perang adalah anak-anak. Kerap kali kita dengar kisah anak-anak yang dahagakan ketenangan dan kasih sayang akibat konflik rumah tangga.
    Tidak sedikit anak-anak hari ini yang kantung jiwanya kosong, terbiar dan tanpa kasih akibat ibu dan bapa kerap berselisih faham. Mereka bukannya tidak berayah, atau beribu. Kedua-duanya masih ada. Namun kewujudan mereka tidak membawa sinar kebahagiaan, bahkan menawarkan dunia huru hara dan pertengkaran.
    Watak-watak garang, marah, bengis, dan degil yang ditonjolkan oleh ibu dan bapa akan tercetak pada kotak fikiran anak-anak. Adegan-adegan pertengkaran, merajuk, tengking-menengking, pukul-memukul, marah-marah, serta berleter-leter yang dipaparkan oleh ibu dan bapa akan menjadi ikutan tanpa sedar oleh anak-anak.
    Bahkan elemen-elemnen negatif seperti mengumpat, memburuk-burukkan, menipu dan sebagainya akan terus mewarnai segenap penjuru rumah yang punya krisis rumah tangga. Anak-anak pula, bukan sekadar menjadi penonton setia, bahkan apa yang dilihat, didengar dan didedahkan itu akan menyelinap dalam akal serta sanubari mereka.
    Maka, usahlah bergaduh. Utamakan penyelesaian bukan kemenangan. Jika kemenangan yang dicari, hanya kehancuran yang diperolehi.
    Bahan berkaitan:

    bacaan dalam solat...sedar atau tidak sedar


    Takbiratul-Ihram / Takbir

    Allah Maha Besar.


    Doa Iftitah

    Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.


    Al-Fatihah

    Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

    Bacaan ketika rukuk

    Maha Suci TuhanKu Yang Maha Besar dan dengan segala puji-pujiannya.

    Bacaan ketika bangun dari rukuk

    Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

    Bacaan ketika iktidal

    Wahai Tuhan kami bagi Engkaulah segala pujian.

    Bacaan ketika sujud

    Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

    Bacaan ketika duduk di antara dua sujud

    Ya Allah, ampunilah dosaku dan rahmatilah daku, lindungilah daku, angkatlah darjatku, rezekikan daku, berilah aku petunjuk, selamatkanlah daku dan maafkanlah akan daku.

    Bacaan ketika Tahiyat Awal

    Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

    Bacaan ketika Tahiyat Akhir

    Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

    Doa Qunut

    Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabatsahabatnya. Salam Sejahtera ke atas kamu berserta rahmat Allah.